Thursday, July 19, 2012

MCA MEMOHON MAAF- KENYATAAN KRUSIAL ?

MCA Negeri Sembilan memohon maaf kepada semua pihak terutamanya mereka yang beragama Islam berhubung mesej Twitter dikeluarkan oleh Penolong Setiausaha MCA negeri, Jason Lee Kee Chong, didakwa telah menyinggung masyarakat Islam, baru-baru ini.
Pengerusinya, Senator Datuk Dr Yeow Chai Thiam berkata, permohonan maaf itu disampaikan setelah pihaknya menerima maklum balas daripada pelbagai pihak berkaitan terutamanya Pas berkenaan dengan kenyataan Lee itu.
“Mungkin terdapat sedikit salah faham yang berlaku, dan mungkin perkataan yang digunakan Jason Lee menerusi laman Twitternya menimbulkan rasa kurang senang dikalangan pihak-pihak berkenaan.
“Setiap manusia melakukan kesilapan, bagaimanapun saya percaya Jason Lee tidak terniat untuk mengeluarkan kenyataan yang menyentuh sensitiviti sesuatu kaum.
“Justeru, dengan permohonan maaf ini, diharapkan ia akan dapat menjadi satu jalan penyelesaian terbaik bagi mengelakkan perkara itu daripada terus berpanjangan,” katanya kepada Sinar Harian selepas MCA Negeri Sembilan menerima kunjungana Pas negeri di pejabat beliau, dekat sini.
Menurut beliau, menjadi prinsip MCA negeri agar sentiasa menghormati agama Islam dan agama-agama lain.
“Saya percaya setiap pemimpin MCA di negeri ini tidak ada niat untuk bercakap sesuatu yang sensitif tentang agama Islam kerana kita tidak mempunyai kemahiran dalam bidang itu.
“MCA yang terdiri daripada kaum Cina sedar bahawa kami perlu mengamalkan sikap saling hormat-menghormati antara semua kaum dan jika ada sebarang kenyataan yang menimbulkan kurang senang, kita sedia untuk meminta maaf,” katanya.
Di samping itu, Chai Thiam turut menasihatkan kepada semua pemimpin MCA negeri supaya sentiasa berwaspada dengan sebarang kenyataan yang dikeluarkan tanpa melibatkan isu-isu sensitif yang mengaitkan sesuatu agama.
Pada pertemuan itu, MCA negeri telah memberikan penjelasan sebenar berhubung isu yang mengaitkan twitter yang dikeluarkan Lee dan ia mendapat reaksi yang baik Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) negeri, Yau Con Seng.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Pas negeri mendesak MCA negeri memohon maaf kepada umat Islam kerana didakwa mengaitkan kejadian amuk di Putrajaya dengan agama Islam selain turut mengaitkan Pas dengan kejadian itu gara-gara kenyataan yang dikeluarkan Lee.
Malah dalam satu majlis bersama rakyat anjuran MCA di Temiang baru-baru ini, beberapa pemimpin MCA juga turut didakwa telah memberi gambaran buruk tentang undang-undang Islam termasuk hukum hudud menerusi ceramah dan tayangan multimedia yang diadakan. -SH

No comments:

Post a Comment