Friday, July 13, 2012

BUKAN SEMUA KAYA KERANA BN !! PTPTN BUKAN POLITIK SEMATA-MATA

Pemimpin pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) perlu menyatakan pendirian menyokong atau menolak berhubung tindakan segelintir penuntut yang membuat desakan pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata mereka perlu menjelaskan perhimpunan yang membabitkan kira-kira 300 pelajar kelmarin, mewakili suara lebih satu juta pelajar atau hanya membabitkan segelintir golongan kemungkinan terbabit dalam permainan politik.

Katanya, kementerian tidak menghalang pelajar IPT untuk berpolitik kerana transformasi politik dan politik baru melalui pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1974 memberi kebebasan kepada pelajar IPT untuk terbabit dalam politik.

Apabila bercakap berhubung pemansuhan AUKU bermakna kita kena biasakan dengan perhimpunan seumpama itu dan lama kelamaan ia akan menjadi lumrah tetapi apa yang perlu dijawab oleh pelajar yang lain, adakah perhimpunan membabitkan 300 orang itu mewakili golongan itu yang mempunyai lebih sejuta pelajar.

Perkara ini perlu dijawab sendiri adakah mereka membenarkan nama perhimpunan itu atas nama mewakili pelajar?

Katamya apa yang penting sebagai pelajar IPT, tindak tanduk, cara berfikir dan cara berhubung yang dilakukan perlu berlandaskan ilmu pengetahuan tanpa perlu berdemonstrasi. Sebab itu saya percaya lebih sejuta pelajar menggunakan ilmu pengetahuan untuk menyatakan pandangan bukan mereka 300 orang itu.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kira-kira 300 pelajar IPT yang berdemonstrasi meminta PTPTN dimansuhkan, di sekitar Dataran Merdeka kelmarin.

Terdahulu, beliau hadir merasmikan Hari Kualiti dan Mesra Rakyat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Megah Ria, dekat sini dan turut menyumbangkan RM30,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah terbabit bagi menjalankan pelbagai kegiatan berkaitan.

Mohamed Khaled berkata, beliau tidak ada masalah dengan tindakan segelintir pelajar yang berdemonstrasi itu, sebaliknya ia perlu dijawab sendiri oleh pelajar lain sama ada mereka bersetuju dengan cara demonstrasi itu.

Sebab itu dalam bidang akademik tidak ada pensyarah yang berdemonstrasi kerana mereka menggunakan pentas yang sesuai. Dalam bidang akademik juga, jika ada golongan pensyarah yang melakukan kesalahan mereka akan ditegur oleh rakan yang mempunyai kepakaran yang sama untuk menilai mereka.

Katanya dalam hal ini, dia meminta pelajar IPT itu sendiri untuk memperbetulkan mahasiswa yang terbabit dalam perhimpunan itu melalui pendekatan yang dia  panggil rakan sebaya. Pelajar itu sendiri perlu menjelaskan adakah perhimpunan itu mewakili pelajar lain.

Berhubung penyertaan pelajar IPT dalam perhimpunan BERSIH 3.0, katanya, pihaknya tidak bertanggungjawab terhadap pelajar yang menyertai perhimpunan itu kerana mereka diberikan kebebasan berpolitik.

Katanya apa yang berlaku di luar terpulang kepada mereka kerana ia bukan tanggungjawab kementerian. Pelajar itu sendiri bertanggungjawab terhadap dirinya kerana kerajaan memberi kebebasan untuk mereka menyertai politik.
~BERNAMA


No comments:

Post a Comment

How to keep your employees respectful