Wednesday, May 9, 2012

Pemuda MIC desak kerajaan Selangor beri pendidikan percuma



9 Mei 2012
SHAH ALAM - Kira-kira 100 anggota Pergerakan Pemuda MIC Selangor mengadakan demonstrasi aman di sini hari ini bagi mendesak kerajaan negeri pimpinan Parti Keadilan Rakyat memberikan pendidikan percuma kepada pelajar universiti di bawah pentadbirannya.
Turut serta dalam perhimpunan yang berlangsung di hadapan pintu masuk bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) itu ialah Ketua Pemuda MIC Selangor Shanker Raj Ayanger.
Beliau berkata kerajaan pakatan pembangkang di Selangor sepatutnya memulakan pengajian percuma di dua universiti di bawah kendaliannya iaitu Universiti Selangor dan Kolej Universiti Islam Selangor sebelum mendesak kerajaan menghapuskan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
"Pembangkang pernah berjanji dalam manifesto pilihan raya umum ke-12 untuk memberi pendidikan percuma dan kerajaan negeri yang menggelar diri mereka sebagai (peneraju) negeri berkebajikan perlu melaksanakannya di Selangor dulu sebelum meminta kerajaan Barisan Nasional memansuhkan PTPTN," katanya.
Shanker Raj bercakap kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum berhubung perkara itu kepada seorang pegawai media daripada Pejabat Menteri Besar.
Beliau turut menasihatkan mahasiswa supaya berfikiran rasional dan tidak diperalatkan pemimpin politik yang hanya pandai menabur janji semata-mata untuk mencapai cita-cita politik sempit mereka.
Memorandum itu, antara lain, turut menuntut kerajaan Selangor memansuhkan caj perkhidmatan kesihatan untuk mahasiswa disamping menyediakan kemudahan pengangkutan secukupnya untuk mereka mengunjungi tempat ibadat masing-masing.
Shanker Raj berkata Pemuda MIC Selangor akan mengadakan demonstrasi besar-besaran di hadapan bangunan SUK sekali lagi jika kerajaan negeri gagal melaksanakan semua tuntutan tersebut menjelang 31 Mei. - Bernama

No comments:

Post a Comment

How to keep your employees respectful