1 MALAYSIA; rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.
Pada mulanya gagasan 1Malaysia agak kabur sehingga menimbulkan pelbagai kekeliruan. Pada 15 April Perdana Menteri menemui pengarang media massa arus perdana untuk merungkaikan kekaburan tersebut. Selepas transkripnya disiarkan barulah muncul gambaran yang agak jelas.
Antara lain, 1Malaysia, mengikut penjelasan Perdana Menteri, seperti yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia ialah:
1. Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita;
2. Ini bukan bererti kita mengenepikan dasar afirmatif, dasar untuk menolong kaum Bumiputera asalkan dasar itu dilaksanakan dengan cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada golongan Bumiputera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan; dan
3. Kita keluar daripada cara bertindak dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian lama.
Untuk merealisasikan gagasan ini, Perdana Menteri menggariskan 8 nilai iaitu budaya cemerlang, daya tahan, rendah diri, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti.
Sejauh mana gagasan 1Malaysia berjaya terpulang kepada kesungguhan, kejujuran dan keikhlasan Perdana Menteri dan jentera pemerintah melaksanakannya. Semua rakyat tanpa mengira idealogi politik harus memberikan kerjasama.
Rakyat satu Malaysia bakal menilai. KPI di tangan rakyat. Sekiranya
gagal, kerajaan BN bakal tumbang dalam pilihan raya umum ke-13 kelak.
(Klik di sini untuk masuk laman 1Malaysia Perdana Menteri)
Persoalanya, mampukah pemimpin kita melaksanakannya? Ini tugasan yang berat. Jadi pemimpin untuk berebut projek kerajaan tidak membawa sebarang makna kepada kejayaan 1Malaysia, bahkan bakal meruntuhkan gagasan murni itu.
Pemimpin yang memperjuangkan kepentingan diri harus dinyahkan dari kerajaan. Pemimpin yang mempunyai sikap positif dan murni harus diberikan keutamaan. Perdana Meteri mesti tegas dalam hal ini. Misalnya, integriti sangat penting dalam pelaksanaan dasar pembangunan negara secara menyeluruh, tetapi nilai inilah yang kita ketandusan. Sehingga sekarang kita belum nampak bahawa pemimpin BN sedang mengorak langkah ke arah 1Malaysia yang digagaskan Perdana Menteri, sebaliknya masing-masing menegakkan gagasan sendiri.
1Malaysia bukan sekadar “sebutan” atau dijadikan “tema” hari kebesaran tertentu, tetapi satu gagasan yang WAJIB dilaksanakan dengan sepenuh hati!
SATU MALAYSIA SAYA
Satu Malaysia saya adalah satu harapan agar semua rakyat Malaysia dapat hidup aman dan harmoni tanpa batasan ideologi, budaya, etnik, atau agama. Oleh itu, Satu Malaysia saya akan sentiasa “memberikan teguran” kepada mereka yang lalai terhadap gagasan “pembangunan untuk semua rakyat Malaysia” secara adil dan saksama.
Lantaran kita mesti terus bersuara untuk mengekalkan perpaduan. Perpaduan tunggak keharmonian. Politik perkauman melampau dan ekstremis agama merupakan musuh utama perpaduan. Oleh itu, kita harus bijak apabila hendak mengucapkan isu berkaitan kaum dan agama. Kita tidak boleh merelakan masa depan kita tergadai oleh perjuangan sempit kita.
Memperjuangkan masa depan kaum sendiri tidak salah, malah digalakkan kerana setiap orang ada perasaan sayangkan kaum dan keturunannya. Tetapi lebih mulia kalau memperjuangkan mereka yang tertindas dan memerlukan bantuan kerana mereka ini ada dalam semua kaum.
Dan Satu Malaysia yakin bahawa perpaduan dan keamanan tetap akan terpelihara sekiranya semua rakyat berpayung di bawah panji Raja-Raja Melayu yang berdaulat.
Sumber:http://satumalaysia.wordpress.com/satu-malaysia/
No comments:
Post a Comment