Tuesday, June 21, 2011

Pembangunan terap konsep ‘Negara kebajikan’

Oleh Mohd Ayop Abd Razid
KONSEP ‘Negara Kebajikan’ (Welfare State) adalah sesuatu yang bersifat relatif dan normatif. ‘Negara kebajikan’ boleh didefinisikan  sebagai satu konsep di mana kerajaan bertanggungjawab menyediakan kebajikan kepada  rakyat menerusi program-program pembangunan yang dilaksanakan. Dalam istilah ekonomi ia disebut sebagai ‘material welfare’ atau ‘kebajikan kebendaan, iaitu usaha menaikkan taraf hidup rakyat. Ia juga disebut sebagai ‘kebajikan sosial’ yang bertujuan untuk membina kesejahteraan hidup (well-being) rakyat.
Tujuan negara kebajikan adalah untuk meningkatkan taraf hidup rakyat. Sejak dulu lagi segala macam program pembangunan kerajaan adalah bertujuan  meningkatkan taraf  hidup rakyat. Memang secara asasnya kita akan mengatakan bahawa itu adalah menjadi kewajipan utama kerajaan. Namun, jika diteliti secara mendalam maka kita dapati bahawa kerajaan melaksanakan lebih daripada itu.
Menurut Bergson fungsi ‘kebajikan sosial’ berkait rapat dengan semua angkubah yang terlibat dalam pembangunan ekonomi negara. Ia menggambarkan satu hubungan rapat di antara kebajikan masyarakat seluruhnya dengan pembangunan ekonomi dalam sesebuah negara itu (Siti Rohani Yahya, 1985). Ia juga berkait rapat dengan pengagihan ekonomi (kekayaan) negara.
Usaha pembasmian kemiskinan yang dilaksanakan kerajaan merupakan salah satu bentuk ‘kebajikan’ yang mempunyai kaitan langsung dengan pengagihan ekonomi negara. Pembasmian kemiskinan mula dilaksanakan di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB). Satu kajian yang dijalankan oleh Malaysian Institute of  Economic Research (MIER) pada Oktober 2005 mendapati bahawa DEB berjaya memperbaiki taraf hidup rakyat serta berjaya merapatkan jurang ekonomi antara-kaum.
Semasa DEB mula dilaksanakan, kadar kemiskinan negara berada pada paras 52.4 peratus. Namun, ia berjaya diturunkan kepada 16.5 peratus ketika DEB ditamatkan (1990). Dispariti pendapatan purata  luar bandar  dan  bandar  menurun dari 1:2.14 (1970) kepada 1:1.70 dalam tahun 1990. Lompang dispariti pendapatan antara kaum juga turut menurun.
Kadar kemiskinan negara terus menurun kepada 5.7 peratus pada tahun 2004 dan pada tahun 2007 ia turun kepada 3.6 peratus. Hari ini, pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak meletakkan keutamaan untuk menghapuskan kemiskinan tegar serta mengurangkan kadar kemiskinan ke paras paling rendah. Di bawah Bidang Keberhasilan Utama (NKRA) berkaitan meningkat taraf hidup berpendapatan rendah, kerajaan telah menetapkan 12 spektrum bagi membantu golongan terbabit keluar dari kepompong kemiskinan.
Ia merangkumi pendidikan dan latihan, kesihatan, kemudahan asas, kewangan dan kebendaan, advokasi, kemudahan awam, penempatan pekerajaan. skim Insurans takaful berkelompok, skim mikro kredit, pensturukturan semula subsidi, transisi dan integrasi dan Kemudahan Perumahan.
Untuk membantu masyarakat luar bandar atau warga desa mencapai pendapatan yang lebih tinggi maka kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berusaha memperkasakan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), memperbanyak pembangunan wilayah berkonsepkan Agropolitan, menyuntik nilai-nilai komersial dalam produk luar bandar serta meluaskan pasaran produk terbabit ke luar negara melalui pelbagai strategi pemasaran dan penggunaan ICT.
Program 1AZAM pula  adalah merangkumi empat bidang iaitu Azam Kerja, AZAM Khidmat, AZAM Niaga dan AZAM Tani akan dilaksanakan bagi meningkatkan produktiviti golongan miskin.
Selain itu, kerajaan menyalurkan pelbagai bentuk bantuan bagi membantu golongan tertentu seperti Orang Kelainan Upaya (OKU), golongan miskin dan miskin tegar, orang bergelandangan, kanak-kanak dan warga emas. Pelbagai bentuk bantuan diberikan kepada golongan terbabit seperti bantuan kewangan secara bulanan, bantuan peralatan, bantuan persekolahan anak, bimbingan perniagaan kecil-kecilan dan tempat perlindungan bagi mangsa-mangsa penderaan.
Demikian juga bantuan buku teks secara percuma, subsidi pembayaran yuran pengajian di Institute Pengajian Tinggi Awam (IPTA) serta  pemberian pelbagai bentuk subsidi yang telah sekian lama diberikan kerajaan adalah juga sebahagian daripada bentuk kebajikan yang disalurkan kerajaan kepada rakyat. Hari ini, rasionalisasi dan penstrukturan subsidi adalah bertujuan agar ia benar-benar sampai kepada golongan rakyat yang layak menikmatinya.
Dalam konteks perumahan rakyat, kerajaan telah menyediakan Program Perumahan Rakyat (PPR) yang bertujuan menjamin golongan setinggan dan mereka yang berpendapatan rendah memiliki rumah. Pada tahun 2010, pencapaian NKRA  berkaitan meningkatkan  infrastruktur luar bandar menunjukkan kerajaan telah membina dan membaik pulih sebanyak 16,926 buah rumah melalui Program Bantuan Rumah, membekalkan kepada sejumlah 35,291 isi rumah dengan bekalan air bersih di kawasan luar bandar, serta menyambungkan kepada seramai 27,209 isi rumah dengan bekalan elektrik luar bandar.
Usaha-usaha itu telah berjaya mengubah kehidupan dua juta rakyat di luar bandar, termasuk di perkampungan orang asli dan juga kawasan pendalaman di Sabah dan Sarawak. Di segi mempertingkat khidmat kesihatan,  kerajaan telah memperkenalkan konsep Klinik 1Malaysia. Ia merupakan pelan perkhidmatan rawatan perubatan ringan kepada penduduk, khususnya di kawasan bandar. Tujuan Klinik 1 Malaysia adalah untuk mengurangkan kesesakan pesakit luar di unit kemalangan dan kecemasan di klinik dan hospital kerajaan.
Lokasi klinik ini dilaksanakan di kawasan-kawasan kediaman atau perumahan rakyat dengan kadar bayaran RM1.00. Justeru, ianya dapat menjimatkan masa dan perbelanjaan pesakit yang memerlukan rawatan ringan. Selain itu, kira-kira 25 peratus (7.5 juta ) penduduk di kawasan pedalaman, terutamanya di Sabah dan Sarawak  yang berada  jauh dari pusat kesihatan boleh menikmati perkhidmatan dan rawatan kesihatan percuma melalui klinik bergerak 1Malaysia membabitkan perkhidmatan melalui udara, darat dan air.
Kesimpulan, pembangunan sosioekonomi negara adalah aspek penting dalam membentuk kesejahteraan, kebajikan dan kualiti hidup rakyat. Semua kumpulan dan komuniti di negara ini mendapat faedah daripada kebajikan sosial yang dilaksanakan kerajaan. Ia merupakan komitmen kerajaan untuk meninggikan taraf hidup rakyat . Justeru, negara kebajikan yang dikumandangkan oleh Pas di dalam muktamarnya tempoh hari adalah sesuatu yang sudah pun dibuat oleh kerajaan selama ini.

No comments:

Post a Comment

How to keep your employees respectful