Tuesday, June 21, 2011

KAJIAN PENDAPAT AWAM : ISU MENARA WARISAN
DISEDIAKAN OLEH : BAHAGIAN PERANCANGAN STRATEGIK DAN PENYELIDIKAN (BPSP)  JABATAN HAL EHWAL KHAS (JASA)
Pada 15 Oktober 2010 lalu, Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah mengumumkan cadangan pembinaan Menara Warisan Merdeka dalam pembentangan Bajet 2011 di Parlimen Dewan Rakyat. Menara Warisan Merdeka merupakan projek mega yang dikendalikan sepenuhnya oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB). Pembangunan projek ini akan dibiayai oleh dana dalaman PNB tanpa menyentuh dana pemegang unit amanah dan tanpa sebarang peruntukan daripada kerajaan.
Menara ini akan dibina setinggi 100 tingkat dan bakal menjadi bangunan pencakar langit tertinggi di Malaysia. Ia akan didirikan di kawasan sekitar Stadium Negara dan Stadium Merdeka dengan tapak keluasan tanah 19 ekar. Projek ini dijangka akan dimulakan pada tahun 2011 dan dijangka siap pada tahun 2015 dengan nilai keseluruhan projek adalah sebanyak RM5 bilion.
Menurut Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Che Piah, projek mega ini bukanlah sesuatu yang baru dirancang dan dimasukkan dalam Bajet 2011 tetapi ia telah direncanakan sejak tahun 2004 selepas kawasan tanah dibeli daripada Pengurusan Danaharta Nasional Berhad pada tahun 2000. Projek ini melibatkan pembangunan bercampur dan berkonsep bangunan hijau. Ia akan dimajukan dalam tiga fasa di mana ia akan turut menempatkan unit-unit kondominium dan kompleks beli-belah. Lokasi menara juga turut menempatkan ibu pejabat baru PNB.
Projek ini akan membawa keuntungan kerana ia bakal menjana ekonomi negara selain menjadi tarikan kepada pelancong sekaligus sebagai mercu tanda pembangunan serta pemodenan negara. Tujuan projek ini diumumkan dalam Bajet 2011 adalah sebagai bukti ketelusan kerajaan memaklumkan kepada rakyat sebarang projek mega yang dirancang demi faedah dan kepentingan rakyat.
Pengumuman projek pembangunan menara tersebut telah mendapat tentangan dari pelbagai pihak yang rata-rata mengatakan bahawa projek ini banyak memberi keburukan berbanding kebaikan. Sehubungan itu, JASA telah melaksanakan kaji selidik bagi mendapatkan reaksi masyarakat awam berkenaan isu ini.
JASA telah melaksanakan Kajian Pendapat Awam tentang Menara Warisan Merdeka pada 29 Oktober hingga 7 November  2010 yang lalu. Jumlah responden bagi kajian ini adalah sebanyak 3,510 orang yang terdiri daripada pelbagai kaum dan lapisan peringkat umur yang dipilih secara rawak bagi setiap Parlimen dan DUN di seluruh Malaysia. Kajian ini telah dilaksanakan melalui kaedah temu bual bersemuka terhadap peserta-peserta program Taqarrub dan orang awam.
Hasil kajian ini menunjukkan bahawa 75.6% (2,655) responden tahu tentang cadangan projek pembinaan Menara Warisan Merdeka yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri dalam pembentangan Bajet 2011. Manakala sebanyak 24.4% (855) responden tidak tahu tentang cadangan ini. Responden sebanyak 61.6% (2,162) bersetuju dengan projek pembinaan Menara Warisan Merdeka setinggi 100 tingkat. Responden yang tidak bersetuju dengan projek ini adalah sebanyak 38.4% (1,348).
Responden sebanyak 64.1% (2,251) berpendapat bahawa projek ini mampu menjana ekonomi negara dengan membuka peluang pekerjaan dan ruang perniagaan kepada rakyat Malaysia. Manakala sebanyak  35.9% (1,259) responden pula tidak bersetuju bahawa projek ini mampu menjana ekonomi negara.
Hasil kajian juga mendapati bahawa responden sebanyak 58.1% (2,041) bersetuju menara ini dibina di tapak sekitar Stadium Negara dan Stadium Merdeka. Manakala sebanyak 41.9% (1,469) responden tidak bersetuju dengan lokasi tersebut. 
Responden sebanyak 51.3% (1,799) tidak tahu bahawa projek ini akan diusahakan sepenuhnya oleh PNB tanpa menggunakan wang pelabur unit amanah dan peruntukan daripada kerajaan. Manakala responden yang tahu tentang pengusaha projek ini adalah sebanyak 48.7% (1,711).
Responden sebanyak 70.2% (2,463) bersetuju bahawa menara ini bakal menjadi tarikan kepada pelancong sekaligus sebagai mercu tanda pemodenan negara. Manakala sebanyak  29.8% (1,047) responden pula berpendapat sebaliknya.
Rata-rata responden bersetuju dengan cadangan pembinaan Menara Warisan Merdeka ini demi kepentingan pembangunan ekonomi negara. Projek ini dilihat mampu membuka pelbagai ruang perniagaan kepada syarikat-syarikat dan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.
Sebahagian responden tidak bersetuju dengan lokasi pembinaan menara ini kerana lokasi tersebut harus dipelihara sebagai kawasan bersejarah. Pembinaan menara ini hanya akan menambahkan lagi kepadatan dan kesesakan di kawasan tersebut.
Ramai responden yang tidak tahu bahawa projek ini dibiayai sepenuhnya oleh PNB tanpa menyentuh dana pemegang unit amanah dan tanpa peruntukan daripada kerajaan. Adalah disarankan bahawa penerangan mengenainya dipertingkatkan dari semasa ke semasa kerana terdapat segelintir rakyat yang melihat bahawa projek ini merupakan satu pembaziran kerana mendakwa ia dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan dengan menggunakan duit rakyat.
 

No comments:

Post a Comment

How to keep your employees respectful