2010/09/28
NEW YORK: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, mahu rakyat Malaysia yang berada di perantauan supaya sentiasa menjaga nama dan imej baik negara.Beliau berkata, sebagai duta kecil negara, mereka harus pandai membawa diri semasa berada di negara orang di samping menjalinkan hubungan baik dengan rakan dari negara lain.
]
"Teruslah menjalinkan hubungan dengan rakan dari negara lain serta pelajarilah adat resam, budaya, dan cara hidup mereka, serta masakan mereka," katanya semasa berucap pada majlis jamuan tengah hari bersama anggota Persatuan Wanita Kementerian Luar Negara (Perwakilan) New York di Pejabat Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), di sini pada Isnin. Pada masa sama, Rosmah turut meminta semua rakyat Malaysia supaya menjaga kestabilan dan kehormanian negara yang mempunyai rakyat berbilang bangsa kerana pewarisnya adalah generasi masa depan.
Katanya, bagi merealisasikan gagasan 1Malaysia "janganlah kita membezakan bangsa dan keturunan kerana semuanya adalah rakyat Malaysia".
Selain itu, Rosmah turut meminta mereka yang berada di sini supaya mengambil kesempatan untuk mempromosikan negara kepada masyarakat tempatan dengan berkongsi cerita mengenai keenakan juadah dan citarasa masakan Malaysia.
Rosmah yang berada di Kota raya New York bagi menemani suaminya, Datuk Seri Najib Razak yang mengetuai delegasi Malaysia ke Perhimpuanan Agung PBB sejak Khamis lalu, turut menyarankan anggota Perwakilan yang berada di luar negara supaya meningkatkan prestasi diri seiring dengan kemajuan dunia, antaranya mendalami Bahasa Inggeris dan belajar Bahasa Perancis.
Pada majlis itu tetamu dihidangkan dengan juadah seperti nasi kerabu, ayam percik, udang lemak nenas, kerabu bendi, ikan masak lada api, sambal udang, mi rebus Johor dan mihun goreng sayuran.
Terdahulu Amy turut memaklumkan kepada Rosmah mengenai aktiviti yang dianjurkan Perwakilan New York dalam mempromosikan nama negara seperti beberapa festival makanan yang dianjurkan oleh persatuan itu di kota raya ini. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment