Wednesday, April 5, 2017

JENAYAH PENDERAAN SEKSUAL KANAK-KANAK| STATISTIK MENUNJUKKAN PENINGKATAN YANG PERLU DIBERI PERHATIAN YANG SERIUS

FAKTA MENUNJUKKAN Sebanyak 5052 kes penderaan seksual di kalangan kanak-kanak telah direkodkan sejak lima tahun kebelakangan ini. kebanyakan kes yang dilaporkan melibatkan pelaku atau individu yang dikenali kanak-kanak tersebut.Statistik telah menunjukkan peningkatan dan ia perlu diberi perhatian yang serius.

SAMA ADA kita sedar atau tidak, kanak-kanak sering terdedah kepada pelbagai bahaya seperti kemalangan, penculikan, penderaan fizikal dan emosi serta kekejaman seksual. Berbanding jenis penderaan lain, jenayah seksual terhadap kanak-kanak adalah bentuk kekejaman yang paling teruk kerana mampu memberi kesan jangka pendek dan panjang.

KES YANG MENJADI PENGAJARAN

Kes melibatkan Richard Huckle secara tidak langsung memberi kesedaran kepada kita mengenai ancaman serius penderaan seksual yang boleh dilakukan oleh seorang pedofilia. Namun, kita mampu menarik nafas lega apabila warganegara Britain itu dikenakan hukuman penjara seumur hidup di negaranya, apabila didapati bersalah melakukan penderaan seksual terhadap kanak-kanak di Malaysia dan Kemboja.

Tahun lalu  rakyat Malaysia turut melahirkan kebimbang­an apabila mereka mengetahui seorang perogol bersiri, S. Selva Kumar, akan dihantar pulang ke Malaysia selepas menjalani hukuman di Kanada. Secara perbandingan, sebenarnya lebih banyak kes penderaan seksual dilakukan oleh individu yang paling hampir dan dipercayai oleh mangsa, terutamanya ahli keluarga terdekat.

  Bayangkan penderitaan yang terpaksa ditanggung oleh mangsa apabila kepercayaan yang diberikan oleh mereka dibalas dengan penderaan seksual yang kesannya kekal sehingga akhir hayat. Jika trauma yang dihadapi mang­sa tidak ditangani dengan betul, mereka akan mengalami pelbagai simptom seperti kemurungan, kegelisahan, masalah tidur, tiada selera makan, ketakutan, sukar mempercayai orang lain serta kecenderungan menjadi seorang pendera apabila dewasa.

UNDANG-UNDANG MASIH LEMAH?

Terdapat banyak kes sebegini seperti yang dilaporkan bulan lepas, melibatkan seorang penjawat awam di Kuching, Sarawak yang dijatuhi hukuman penjara selama 60 tahun dan 30 sebatan setelah mengaku bersalah terhadap tiga tuduhan merogol anak tirinya yang kini berusia 17 tahun.

Pada 30 Disember lepas, seorang lelaki yang hidup secara gelandangan dihukum penjara 80 tahun dan sebatan 110 kali oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah atas 11 pertuduhan merogol dan satu pertuduhan seks oral melibatkan anak kandungnya yang berusia 16 tahun.

Menurut Ketua Unit Siasatan Seksual Bukit Aman, DSP Tan Gee Soon, hampir kesemua mangsa penderaan seksual mengenali mereka yang melakukan perbuatan terkutuk itu. Statistik di antara 2005 dan 2015 menunjukkan secara konsisten bahawa 91 peratus pemangsa kanak-kanak ialah mereka yang dikenali mangsa.


APA KATA STATISTIK?

Dalam tempoh 10 tahun tersebut, kes sumbang mahram yang melibatkan bapa kandung me­rangkumi 23.9 peratus, diikuti bapa tiri (23 peratus), bapa saudara (18.7 peratus), abang kan­dung (12.5 peratus), sepupu (7.2 peratus), abang ipar (5.3 peratus), abang tiri (4 peratus), datuk (1.6 peratus) dan datuk tiri (1 peratus).
Menurut data yang dikumpul polis, mereka yang melakukan penderaan seksual terhadap kanak-kanak termasuk juga kenalan keluarga, jiran, guru, anggota polis dan tentera, guru agama dan pengawal keselamatan.

Statistik polis di antara 2013 dan 2016 turut menunjukkan sebahagian besar kes rogol, mencabul kehormatan dan liwat melibatkan kanak-kanak dilakukan oleh mereka yang dikenali ­mangsa.



KEKURANGAN KESEDARAN ATAU SENGAJA ?

Kita sering mengingatkan anak-anak tentang bahaya yang bakal menimpa mereka jika berkenalan dengan orang asing sedangkan di sekeliling kita sebenarnya terdapat lebih ramai yang bersikap seperti musang berbulu ayam atau haruan makan anak.
Dalam kebanyakan kes penderaan seksual kanak-kanak, laporan polis lambat atau langsung tidak dibuat kerana mangsa atau ahli keluarga mahu menjaga nama baik mereka.

Bagi kes yang melibatkan bapa atau bapa tiri, kemungkinan besar laporan polis tidak dibuat kerana mereka bimbang akan kehilangan sumber pendapatan apabila ketua keluarga dikenakan tindakan undang-undang.

Walaupun sejumlah 10,575 kes penderaan seksual melibatkan kanak-kanak telah dilaporkan di antara 2013 dan Julai 2016, dipercayai lebih banyak kes yang berlaku tidak pernah dilaporkan kepada pihak polis atas alasan sedemikian.

Tahun lepas, kita turut dikejutkan dengan laporan media asing yang mendedahkan penderaan seksual kanak-kanak di Malaysia kebanyakannya tidak berakhir dengan pendakwaan kerana kelemahan undang-undang jenayah negara.

Turut didedahkan kebanyak­an maklumat mengenai pendera­an seksual kanak-kanak tidak diketahui umum kerana terletak di bawah Akta Rahsia Rasmi.

ANCAMAN PEDOPHILIA

Kebanyakan pesalahnya adalah terdiri daripada ibu bapa, penjaga atau pihak yang rapat dengan kanak-kanak termasuk Pedophilia yang berkait rapat dengan penderaan seksual kanak-kanak

"Pedophilia bermula dengan kes Richard Huckle yang telah menggemparkan negara tahun lalu atas sabitan kesalahan merogol dan serangan seksual terhadap 23 kanak-kanak di negara ini.

ancaman Pedophilia juga boleh dilihat berdasarkan penggunaan atau pendedahan teknologi yang mudah diakses hari ini seperti Facebook, Twitter dan sebagainya. Impak internet serta media sosial terhadap eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak oleh seorang pemangsa Pedophilia amat meluas sehingga merangkumi ramai mangsa kanak-kanak pada satu masa.

"Ekspolitasi seks boleh berlaku secara online dan off line. Aktiviti eksploitasi online adalah memaparkan gambar lucah kanak-kanak manakala offline adalah melalui pertemuan bersemuka di mana profil kanak-kanak dan lokasi mereka juga boleh diketahui.

PERKUKUHKAN RANG UNDANG-UNDANG

Akta Kanak-kanak yang dipinda tahun lepas mengenakan hukuman denda maksimum RM50,000 dan penjara sehingga 20 tahun kepada mereka yang didapati bersalah melakukan penderaan atau membiarkan kanak-kanak tanpa jagaan berbanding hukuman denda maksimum RM10,000 dan penjara sehingga 10 tahun sebelum pindaan dibuat.
Di bawah undang-undang baharu itu, mahkamah khas akan diwujudkan bagi mempercepatkan perbicaraan kes jenayah seksual melibatkan kanak-kanak. Dilaporkan hakim dan pihak pendakwa di mahkamah khas tersebut adalah mereka yang mahir dalam bidang berkenaan manakala kes terbabit perlu di­selesaikan dalam tempoh setahun.

Akta itu juga mengandungi peruntukan yang membolehkan pihak ketiga membuat laporan berkaitan kes penderaan kanak-kanak kerana pada masa ini ha­nya keluarga terdekat, doktor dan penjaga kanak-kanak diberi tanggungjawab tersebut.

Peruntukan ini amat penting bagi memastikan orang ramai menjalankan peranan mereka untuk menangani penderaan kanak-kanak secara serius dan bertanggungjawab.

Undang-undang yang lebih ketat dan hukuman berat tidak akan memberi makna sekiranya kita sebagai anggota masyarakat tidak mahu melaksanakan tanggungjawab untuk membantu pihak berkuasa menahan mereka yang bersikap umpama “musang” dan “haruan” dalam kalang­an masyarakat.


PINDAAN RANG UNDANG-UNDANG

Undang-undang (RUU) Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 diluluskan Dewan Rakyat .

RUU bertujuan melindungi kanak-kanak daripada jenayah seksual ini dicadang terpakai kepada kanak-kanak bawah umur 18 tahun, selaras Akta Kanak-Kanak 2001.

RUU itu menaikkan status kanak-kanak untuk memberi keterangan tanpa sokongan walaupun undang-undang sedia ada ketika ini menyatakan sebaliknya. Bagaimanapun pihak mahkamah masih mempunyai kuasa untuk memberi pertimbangan sama ada mereka (kanak-kanak) boleh memberikan keterangan.

"Tiada definisi umur berhemah kanak-kanak, tetapi mahkamah memutuskan usia mentah adalah antara umur 13 tahun ke bawah. Oleh itu umur kanak-kanak bijak adalah dalam lingkungan 14 sehingga 18 tahun, mereka ini boleh memberi keterangan secara bersumpah,"
Secar dasarnya,  Bagi menentukan umur kanak-kanak, pihak pendakwa akan memohon Polis Diraja Malaysia untuk kanak-kanak terlibat menjalani ujian dan sekiranya disahkan kanak-kanak akta-akta sedia ada adalah terpakai,".

Mengikut RUU itu juga, mana-mana orang yang membuat, menghasilkan, mengarahkan pembuatan atau penghasilan pornografi kanak-kanak boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 30 tahun dan hendaklah dihukum sebat tidak kurang enam sebatan, jika sabit kesalahan.

RUU itu juga menyebut individu yang melakukan kesalahan amang seksual fizikal boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan boleh dihukum dengan sebatan, jika sabit kesalahan.

Ini termasuk menyentuh mana-mana bahagian badan kanak-kanak, membuatkan kanak-kanak menyentuh mana-mana bahagian orang itu atau melakukan kontak fizikal dengan kanak-kanak tanpa persetubuhan.

Bagi amang seksual bukan fizikal seperti melakukan aktiviti bersifat seksual di hadapan kanak-kanak selain mengikuti atau memerhati atau menghubungi seseorang kanak-kanak dengan apa cara berulang kali atau kerap, individu yang melakukan kesalahan itu boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau didenda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

RUU itu juga memperuntukkan mana-mana orang yang tidak memberikan maklumat mengenai perlakuan atau niat mana-mana individu untuk melakukan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM5,000.

APAKAH MASYARAKAT KITA SEDAR ATAU BUAT TIDAK PEDULI??

Walaupun pelbagai pihak mengambil langkah atau tindakan untuk menentang kes jenayah seksual melibatkan kanak-kanak jika tiada sokongan daripada masyarakat maka segala undang-undang yang digubal adalah setakat mengeluarkan air liur sahaja. Bagi saya pendidikan atau kesedaran terhadap Seksual harus menjadi senahagian daripada sistem pendidikan yang sedai ada.

Ramai kes melibatkan jenayah seksual kanak-kanak ditutup oleh ahli kelarganya kerana kononya ingin menjaga air muka atau maruah keluarga yang selebihnya hilang begitu sahaja. Siapakah harus dipertanggungjawabkan ? Apakah tiada kesudahan bagi mengatasi masalah ini? Haruskah kita tunggu sehingga lebih ramai Richard Huckle menular ke Malaysia untuk memusnahkan #futureMalaysia.

Terpulang kepada anda…… jika kita terlambat maka kita akan tengelam. Kita Harus bertindak mengenalpasti punca dan cara penyelesaian supaya kes sebegini tidak berulang lagi…

#NegarakuMalaysia



SUMBER:

TAN SRI LEE LAM THYE- Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia.
SHANKER RAJ AYANGER- Exco Yayasan Pencegahan Jenayah Negeri Selangor.

PARLIMEN MALAYSIA
KEMENTERIAN PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT


No comments:

Post a Comment

How to keep your employees respectful