Sunday, February 26, 2012

HAK KITA -உரிமையோடு நம்பிக்கை வையுங்கள்!!

KAPAR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan 1,000 tawaran tempat kepada para pelajar India lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mengikuti kursus matrikulasi di kolej-kolej kerajaan.
Menurut Najib, penambahan tempat di Kolej Matrikulasi itu akan memberi kesan besar kepada peningkatan bilangan pelajar India yang layak memasuki kursus di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Pengumuman itu menerima tepukan gemuruh oleh 20,000 masyarakat India yang hadir dalam Pesta Ponggal yang berlangsung di Padang Kelab Kilat, Kuarters TNB malam tadi.
Najib berkata jumlah pelajar India di Kolej Matrikulasi akan ditambah daripada 559 sekarang kepada lebih 1,500 pada sesi 2012/2013.
“Kita akan memastikan pelajar India yang layak dan mencapai keputusan cemerlang dalam SPM tahun lepas diberi keutamaan memenuhi tempat yang diberikan,” katanya.

Inisiatif lain
Dalam ucapan sama, Najib turut memberi khabar gembira kepada masyarakat India di Kapar dan Klang dengan mengumumkan pembinaan blok baru untuk Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).
Katanya, dengan sumber kewangan yang mencukupi, satu blok bangunan tambahan disediakan bagi SJKT Methodist di Kapar dan mengesyorkan pembinaan tiga bangunan blok baru untuk sekolah SJKT Simpang Lima di Klang.
“Pembinaan tiga blok baru ini adalah untuk menampung pelajar yang kian meningkat di sekolah Tamil kluster yang pertama di Malaysia,” katanya di hadapan para hadirin yang tidak berganjak meskipun hujan lebat turun sejak petang Ahad.
Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, Presiden MIC Datuk Seri G Palanivel dan beberapa menteri kabinet serta pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN).
Katanya kerajaan juga akan memberi bantuan untuk membina sebuah rumah pembakaran mayat di Pekan Kapar bagi memudahkan masyarakat India menjalankan upacara pengendalian mayat.
Ia selaras dengan hasrat kerajaan agar rakyat selari dengan gagasan 1Malaysia yang lebih inklusif serta meningkatkan keadilan sosial untuk semua masyarakat.
 “Saya mengajak masyarakat India jadi rakan kongsi kerajaan berpegang kepada semangat ‘nambikei’ (kepercayaan) dan sama-sama majukan Malaysia ke arah lebih hebat lagi,” katanya.
Najib menjelaskan dalam bidang pendidikan, kerajaan telah meluluskan peruntukan tambahan RM340 juta untuk sekolah-sekolah Tamil di seluruh negara. -FMT

No comments:

Post a Comment