Friday, January 27, 2012

KEPAKARAN GURU SEKOLAH TAMIL DALAM MENGENDALIKAN MURID MENJADI PERSOALAN?

Pencapaian Akademik Di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Yang Berstatus Sekolah
Kurang Murid (SKM) Di Daerah Kota Tinggi, Johor.
Zainudin Abu Bakar & Dineshkumar A/L S.Haridas
Fakulti Pendidikan
Universiti Teknologi Malaysia
Abstrak : Kebanyakan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil di Malaysia, dikategorikan sebagai
Sekolah Kurang Murid (SKM). Majoriti SKM terletak di luar bandar seperti ladang-ladang dan
pekan kecil. Pencapaian akademik murid di SKM adalah lemah jika dibandingkan dengan
sekolah harian biasa. Pekara ini harus dikaji bagi mengenal pasti faktor-faktor yang
mempengaruhi pencapaian akademik murid di SKM. Secara amnya kajian ini bertujuan
mengkaji faktor-faktor yang mempengaruhi pencapaian akademik murid di Sekolah Jenis
Kebangsaan (Tamil) yang berstatus Sekolah Kurang Murid (SKM) di daerah Kota Tinggi, Johor.
Kajian ini mengambil Guru Besar- Guru Besar di tiga buah Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil)
yang berstatus Sekolah Kurang Murid (SKM) di daerah Kota Tinggi, Johor. Kajian yang
dijalankan berbentuk kualitatif dan menggunakan temu bual sebagai instrument kajian. Hasil
daripada kajian menunjukkan bahawa faktor persekitaran memainkan peranan dalam
mempengaruhi pencapaian akademik murid. Di samping itu, kemudahan infrastruktur, bahan
pengajaran dan pembelajaran dan kualiti guru yang mempengaruhi pencapaian akademik perlu
dipertingkatkan. Oleh yang demikian cadangan diberikan bagi mengatasi permasalahan ini.
Cadangan tersebut diberikan kepada setiap pihak yang berkaitan dengan kajian ini.
Katakunci : pencapaian akademik, sekolah kurang murid
Pengenalan
Pembentukan dasar dan sistem pendidikan kebangsaan di Malaysia adalah bertujuan
untuk memberi pendidikan yang sempurna kepada murid-murid dari segi aspek jasmani, emosi,
rohani dan intelek selaras dengan aspirasi kebangsaan. Dalam konteks negara Malaysia, sistem
pendidikan mempunyai matlamat utama iaitu perpaduan kaum dan pembangunan negara.
Kebanyakan Sekolah Jenis Kebangsaan terutamanya SJK (T), dikategorikan sebagai
Sekolah Kurang Murid (SKM). Menurut Yayasan Strategik Sosial (2000), majoriti SKM terletak
di luar bandar seperti ladang-ladang dan pekan kecil. Kewujudan sekolah berkeadaan demikian
adalah disebabkan faktor perpindahan masyarakat India dari kawasan-kawasan tersebut ke
bandar. Menurutnya lagi, kategori SKM ini boleh dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu,
sekolah yang mempunyai kurang daripada 50 orang murid, sekolah yang mempunyai bilangan
murid di antara 51 hingga 100 orang dan sekolah yang mempunyai bilangan murid di antara 101
hingga 150 orang.
Pernyataan Masalah
Kajian ini bertujuan untuk mengkaji faktor-faktor yang mempengaruhi pencapaian
akademik di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) yang berstatus Sekolah Kurang Murid (SKM) di
daerah Kota Tinggi, Johor.
Pencapaian akademik para murid merupakan satu aspek yang amat penting dan sering
ditekankan oleh institusi sekolah. Hal ini kerana keberkesanan proses pengajaran dan
pembelajaran diukur menerusi pencapaian akademik para murid. Terdapat beberapa faktor yang
mempengaruhi perbezaan pencapaian akademik di antara sesebuah sekolah dengan yang lain.
Antaranya ialah tahap kemudahan infrastruktur di sekolah, tahap kemudahan bahan pengajaran
dan pembelajaran, tahap kualiti pengajaran guru dan sebagainya. Di samping itu, keadaan
persekitaran juga memainkan peranan yang penting dan mempengaruhi pencapaian akademik di
kalangan para murid.
Objektif kajian
Objektif kajian ini antara lain bertujuan untuk:
a) Mengenal pasti bagaimana persekitaran mempengaruhi pencapaian akademik di Sekolah
Jenis Kebangsaan (Tamil) yang berstatus Sekolah Kurang Murid (SKM) di daerah Kota
Tinggi, Johor.
b) Mengkaji kemudahan infrastruktur yang terdapat di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil)
yang berstatus Sekolah Kurang Murid (SKM) di daerah Kota Tinggi, Johor.
c) Mengkaji kemudahan bahan pengajaran dan pembelajaran yang terdapat di Sekolah Jenis
Kebangsaan (Tamil) yang berstatus Sekolah Kurang Murid (SKM) di daerah Kota Tinggi,
Johor.
d) Mengenal pasti kualiti guru yang terdapat di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) yang
berstatus Sekolah Kurang Murid (SKM) di daerah Kota Tinggi, Johor.
Kepentingan Kajian
Kajian ini dapat mendedahkan faktor-faktor yang mempengaruhi pencapaian akademik
murid di SJK (T) yang berstatus (SKM) di daerah Kota Tinggi, Johor. Di samping itu, menerusi
kajian ini juga, beberapa cadangan dapat digariskan bagi meningkatkan taraf pencapaian
akademik para murid di SJK (T) yang berstatus (SKM) di daerah Kota Tinggi, Johor. Melalui
hasil kajian ini juga, guru-guru dapat memperbaiki taraf pengajaran bagi meningkatkan
pencapaian akademik di sekolah masing-masing. Penyelidikan ini akan memberi suatu gambaran
yang jelas kepada pihak-pihak yang mempunyai kepentingan di SJK (T) supaya dapat
memikirkan dan mengambil tindakan sewajarnya menangani faktor-faktor yang dikemukakan.
Rekabentuk Kajian
Menurut Cooper dan Schindler (2000), reka bentuk kajian merupakan satu perancangan
atau panduan yang menjelaskan bagaimana pengumpulan data dan penganalisisan data dibuat.
Selain itu, ia juga dikenali sebagai suatu panduan atau gambaran awal tentang perlaksanaan
sesuatu kajian. Ia turut merangkumi prosedur dan langkah-langkah yang perlu diambil oleh
pengkaji dalam melaksanakan kajian ini. Pemilihan rekabentuk kajian adalah penting bagi
memastikan kajian berjalan dengan lancar dan teratur serta menjamin hasil dapatan kajian yang
baik.
Kajian ini adalah berbentuk kajian kes pelbagai atau “multiple case study” yang
bermatlamatkan untuk mengkaji kemudahan infrastruktur, kemudahan bahan pengajaran dan
pembelajaran, kualiti guru dan pengaruh persekitaran terhadap pencapaian akademik di Sekolah
Jenis Kebangsaan (Tamil) yang berstatus Sekolah Kurang Murid (SKM) di daerah Kota Tinggi,
Johor.
Pengumpulan data merupakan kaedah untuk mendapatkan maklumat dan data bertujuan
menjawab persoalan-persoalan kajian bagi mencapai objektif penyelidikan. Maklumat dan data
itu dianalisis dan ditafsirkan untuk membuat kesimpulan bagi menyokong keputusan kajian.
Menurut Marohani (2001), pemerhatian, temu bual dan merujuk bukti dokumen pada sepanjang
tempoh kajian adalah tiga teknik utama yang biasa digunakan dalam kajian berbentuk kualitatif.
Menurut Spradley (1980) dalam Marohani (2001), dalam kajian berbentuk kualitatif,
penyelidik juga memainkan peranan sebagai responden. Hal ini kerana penyelidik juga berada
dalam lapangan kajian yang dijalankan. Penyelidik berperanan sebagai pemerhati-peserta
“participant-observer” semasa penyelidikan dijalankan.
Kajian kes ini adalah penyelidikan yang dilakukan ke atas tiga orang guru besar SJK (T)
Ladang Rem, SJK (T) Ladang Telok Sengat dan SJK (T) Ladang Pelepak. Menurut Mohamad
Najib Abdul Ghafar (1999), kaedah temu bual mempunyai kelebihan iaitu, penyelidik
berpeluang menerangkan isu yang tidak difahami oleh sampel dengan lebih terperinci. Temu
bual dilakukan dengan guru besar-guru besar yang terlibat secara berasingan selama 2 jam
tentang persoalan kajian. Rakaman dilakukan bagi memudahkan penyelidik apabila membuat
rumusan kelak. Disamping itu, dokumendokumen yang berkaitan dengan pengurusan sekolah
juga dijadikan panduan sebagai bukti bagi mengukuhkan lagi penyelidikan.
Terdapat enam langkah yang diambil seperti yang disarankan oleh Stake (1995), bagi
memastikan rekabentuk kajian adalah kukuh dan sempurna supaya kajian dan analisis dapat
dijalankan dengan baik. Antara langkah-langkah yang diambil ialah seperti berikut:
Rajah 1 Langkah menjalankan kajian kes
Instrumen Kajian
Kaedah temu bual telah digunakan sebagai kaedah yang utama bagi penyelidikan ini.
Protokol temu bual digunakan untuk mengumpul maklumat dan data yang diperlukan bagi
menjawab persoalan kajian dan mencapai objektif yang telah dinyatakan. Soalan-soalan
tambahan atau “probe” dikemukakan semasa sesi temu bual berlangsung.
Responden yang dipilih menjawab soalan yang dikemukakan secara lisan apabila disoal
oleh penyelidik. Penyelidik menerangkan soalan dengan lebih jelas lagi jika sampel didapati
tidak memahami soalan dengan baik. Bahasa yang digunakan dalam soalan-soalan adalah bahasa
yang biasa digunakan dalam surat khabar dengan perkataan-perkataan yang biasa ditemui. Proses
pemilihan soalan kajian mempertimbangkan segala aspek kesesuaian dengan sampel dan tujuan
penyelidikan. Wah (1992), dalam Marohani (2001), menyatakan bahawa kesesuaian instrument
merupakan salah satu faktor yang menentukan kejituan dapatan kajian.
Berikut adalah aspek-aspek yang ditanyakan semasa temu bual untuk mencapai objektif
kajian yang dinyatakan.
Persekitaran
i. Tahap pendidikan ibu bapa
ii. Pendidikan awal tadika
iii. Pengangkutan murid kesekolah
iv. PIBG sekolah
Kemudahan infrastruktur
i. Perkongsian bilik darjah
ii. Proses penyelenggaraan
iii. Kegiatan kokurikulum
iv. Pengoperasian kantin
Kemudahan bahan pengajaran dan pembelajaran
i. Kaedah pengajaran
ii. Pengajaran menggunakan komputer
iii. Penggunaan Alat Bantu Mengajar (ABM)
iv. Kemudahan perpustakaan
Kualiti Guru
i. Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT)
ii. Proses penyeliaan
iii. Guru berkursus
iv. Sikap guru
Analisis Data
Kaedah pengajaran
Disebabkan oleh bilangan murid yang kurang, sekolah kajian terpaksa menggunakan
kaedah pengajaran dan pembelajaran yang berbeza dengan sekolah harian biasa. Ketiga-tiga
Guru Besar menggunakan kaedah kumpulan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di
sekolah. Aktiviti kumpulan yang dimaksudkan ialah murid akan membentuk kumpulan kecil
disebabkan bilangan yang kurang dan guru akan mengajar murid tersebut mengikut kumpulan.
Menerusi kaedah ini, guru dapat menumpukan perhatian secara lebih mendalam terhadap setiap
murid. Kaedah pengajaran ini adalah seperti kaedah pengajaran di pusat tuisyen dimana guru
dapat menumpukan perhatian kepada setiap murid. Kaedah sedemikian digunakan disebabkan
oleh masalah tempat. Walaupun bilangan guru mencukupi, tetapi luas bilik darjah tidak
memuaskan bagi perlaksanaan aktiviti semasa proses pengajaran dan pembelajaran.
Jadual 1 : Kaedah pengajaran di SJK(T).
Pembelajaran menggunakan komputer
Ketiga-tiga Guru Besar mengakui mengamalkan pembelajaran menggunakan komputer.
Komputer riba digunakan dengan meluas bagi pengajaran matapelajaran Sains dan Matematik.
Guru-guru menggunakan komputer riba yang dibekalkan oleh kerajaan di kelas kerana tiada
kemudahan komputer di bilik darjah.
Para murid sememangnya dapat mengikuti pengajaran yang menggunakan komputer. Hal
ini kerana, kaedah ini lebih mudah dan menarik. Di samping itu, disebabkan bilangan murid
yang kurang, murid berpeluang untuk berinteraki dengan guru dengan lebih mudah dan guru juga
membenarkan murid menggunakan komputer riba semasa pengajaran. Secara tidak langsung,
murid juga boleh belajar menggunakan komputer.
Jadual 2 : Pembelajaran menggunakan komputer di SJK(T).
Penggunaan ABM
Selain menggunakan “laptop” dan komputer dalam proses pengajaran dan pembelajaran,
sekolah kajian juga ada menggunakan Alat Bantu Mengajar (ABM) yang lain bagi memantapkan
lagi pengajaran di sekolah. Ketiga-tiga Guru Besar bersetuju guru di sekolah menggunakan
carta-carta yang berkaitan bagi memudahkan pelajar memahami pelajaran. Selain itu, sekolah
juga memuat turun bahan bantu daripada “schoolnet”, iaitu laman web kepunyaan Kementerian
Pelajaran Malaysia yang direka khas untuk kegunaan guru dan para murid. Di samping itu, guru
juga menggunakan gambar-gambar dan kad-kad yang dibuat sendiri atau yang diperolehi
daripada pejabat pendidikan. Kaedah atau bahan ini selalunya digunakan bagi kelas KIA iaitu
kelas intervensi awal bagi murid tahun satu yang lemah. Penggunaan kad dan gambar ternyata
berkesan bagi murid tahap rendah bagi mengukuhkan pemahaman mereka.
Jadual 3 : Penggunaan ABM di SJK(T).
Mempunyai kemudahan perpustakaan
Kemudahan perpustakaan merupakan sesuatu yang tidak asing bagi sesebuah sekolah.
Walaupun sekolah kajian merupakan SKM, ketiga-tiga Guru Besar mengakui sekolah
mempunyai kemudahan perpustakaan. Perpustakaan mempunyai buku-buku rujukan, cerita dan
bahan-bahan bagi para murid. Selain itu, perpustakaan di salah sebuah sekolah kajian juga
mempunyai kemudahan televisyen bagi pelajar menonton rancangan pendidikan. Sumber bagi
perpustakaan diperolehi melalui peruntukkan yang diberi dan sumbangan daripada pihak swata.
Walaubagaimanapun, keluasan perpustakaan adalah kecil. Oleh yang demikian, perpustakaan
hanya digunakan untuk meminjam dan membaca buku. Aktiviti lain tidak dapat dijalankan di
perpustakaan disebabkan masalah ruang. Walaupun demikian, sekolah ada juga menganjurkan
pertandingan membaca bagi menggalakkan murid membaca bahan di perpustakaan.
Bagi sekolah wawasan pula, ketiga-tiga sekolah berkongsi satu perpustakaan. Menurut
Guru Besar C, setiap sekolah mempunyai masa dan waktu yang tertentu bagi menggunakan
perpustakaan. Bagi SJK(T), mereka akan menggunakan perpustakaan pada hari Isnin dan Selasa.
Perpustakaan hanya digunakan untuk aktiviti membaca sahaja kerana sekolah mempunyai tempat
yang lain bagi aktiviti lain.
Jadual 4 : Kemudahan perpustakaan di SJK(T).
Jadual 5 : Kemudahan bahan pengajaran dan pembelajaran di SJK(T).
Perbincangan
Dapatan kajian berkaitan kemudahan bahan pengajaran dan pembelajaran menunjukkan
bahawa sekolah-sekolah kajian mempunyai kemudahan bahan pengajaran dan pembelajaran.
Walaupun kemudahan yang terdapat tidak setanding dengan yang terdapat di sekolah harian
biasa, sekolah kajian tidak mempunyai masalah dengan kemudahan bahan pengajaran dan
pembelajaran yang sedia ada.
Menurut Hedges, Laine, Greenwalds (1994) dan Tribus (1996), sumber-sumber sesebuah
organisasi seperti sumber kewangan, peralatan komputer dan kemudahankemudahan lain
mempunyai pertalian yang rapat dalam menentukan standard dan pencapaian sesebuah sekolah
dalam akademik mahupun kokurikulum. Kebanyakan SJK(T) dikategorikan sebagai sekolah
bantuan modal atau bantuan kerajaan, namun sekolah masih mempunyai kemudahan seperti
kemudahan komputer, alat bantu mengajar dan perpustakaan sekolah bagi membantu para murid
dalam proses pengajaran dan pembelajaran mereka.
Menurut Atan Long (1988), salah satu sifat penting yang perlu ada pada seseorang guru
ialah menimbulkan minat pelajar terhadap pengajarannya. Manakala Crow and Crow (1980),
menyatakan guru sepatutnya dapat membimbing untuk menggerakkan pelajarnya untuk belajar,
membantu pelajar membina sikap yang positif, memperbaiki teknik mengajar dan memperbaiki
diri terhadap mutu pengajaran mereka.
Menerusi dapatan kajian, kebanyakan guru adalah bersifat positif. Mereka sanggup
menggadaikan masa bagi membantu pelajar. Walaupun demikian, terdapat juga segelintir guru
yang hanya bertugas setakat untuk menghabiskan masa. Mereka tidak memahami makna utama
bidang perguruan. Selain itu, kebanyakan guru-guru di sekolah kajian adalah di kalangan Guru
Sandaran Tidak Terlatih (GSTT). Kebanyakkan guru GSTT ingin mengajar tetapi cara
penyampaian dan langkah-langkah yang digunakan adalah kurang berkesan. Oleh yang demikian,
ini memberi kesan terhadap pencapaian akademik para murid.
Guru Besar di sekolah kajian juga melaksanakan tanggungjawab untuk menyelia guru
dengan sempurna walaupun terpaksa memikul pelbagai beban. Dapatan kajian ini menyokong
kajian yang dijalankan oleh Noran dan Ahmad (1992), Kamaruddin (1989) dan Drake dan Doe
(1994), yang menyatakan penyeliaan dapat menambahbaikan mutu pengajaran dan kualiti
pengajaran guru. Hal ini secara tidak langsung dapat meningkatkan prestasi pencapaian
akademik para murid.
Rujukan
Atan Long (1988). “Psikologi Pendidikan”. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Azrul Ahmad (2002). “Permasalahan Yang Mempengaruhi Pencapaian Akademik Di Kalangan
Pelajar-Pelajar Bumiputera Di Kawasan Luar Bandar.” Johor: Universiti Teknologi
Malaysia.
Bloom, Benjamin S. ( 1980 ), “Taksonomi Objektif Pendidikan Buku Pedoman 1:Domain
Kognitif”, Abdullah Junus Ed., Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.
Connel (1967). “Talking Minds: The Study of Language in Cognitive Science.” Cambridge Mass.
The MIT Press.
Ee Ah Meng (1997). “Psikologi Pendidikan II.” Selangor : Fajar Bakti Sdn. Bhd.
H. Douglas Brown (1968). “Principles of Language Learning and Teaching.” Englewood Cliff,
NJ: Prentice Hall.
Ishak Harun ( 1989). Aliran Perkembangan Pendidikan dan Pembentukan Negara Industri dalam
Reformasi Pendidikan. Kuala Lumpur: Nurin Enterprise.
Jabatan Pelajaran Johor (2006). “Pengurusan Sekolah Tamil.” Johor: Jabatan Pelajaran Johor.
Kamaruddin Kachar (1989). “Siri Pengurusan Pendidikan-Ke Arah Penguasaan Pelajar
Dinamik.”Kuala Lumpur:Teks Publishing Sdn. Bhd.
Lingren, H.C. (1976). “Educational Pyschology In The Classroom.” New York: Wiley & Sons
Inc.
Marimuthu (1990). “Pengenalan Sosiologi Pendidikan.” Shah Alam: Fajar Bakti.
Marohani Yusof (2001). “Penyelidikan Kualitatif, Pengalaman Kerja Lapangan.” Kuala Lumpur:
Penerbit Universiti Malaya.
Noran Fauziah Yaakub (1992). “Guru dan Perguruan.” Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Rahimah Ahmad (1990). “Meninjau Kesesuaian Kandungan Kurikulum MLVK Kursus
Elektronik Berbanding Dengan Keperluannya Di Industri.” Universiti Teknologi
Malaysia. Projek Sarjana Muda
Syarifah Alwiyah Al-Sagoff (1988), Psikologi Pendidikan II : Psikologi pembelajaran Dan
Kognitif Bimbingan Dan kaunseling” Selangor: Heneman Sdn Bhd.
Wah Zah (2001). “Fenomenagrafi dalam Penyelidikan Pembelajaran.” dalam Marohani Yusof.
“Penyelidikan Kualitatif, Pengalaman Kerja Lapangan.” Kuala Lumpur: Penerbit
Universiti Malaya.
Yayasan Strategik Sosial (2000). “Pelan Induk Sekolah-Sekolah Tamil Abad Ke-21.” Kuala
Lumpur: Yayasan Strategik Sosial.
Yayasan Strategik Sosial (2005). “Tamil Schools in Malaysia.” Kuala Lumpur: Yayasan
Strategik Sosial.
Zunaizan (2000). “Faktor-faktor yang Mempengaruhi Pencapaian Akademik Pelajar- Pelajar
Sekolah Menengah Cheneh Baru, Kemaman, Terengganu.” Johor: Universiti Teknologi
Malaysia. Projek Sarjana Muda.

No comments:

Post a Comment

How to keep your employees respectful