Tuesday, September 21, 2010

Polis Buka 72 Kertas Siasatan Libatkan Peguam Sejak 10 Tahun Lepas


KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- Polis pada Selasa menafikan dakwaan bahawa ia lambat bertindak terhadap peguam yang melakukan perbuatan menyalahi undang-undang negara.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata sebaliknya sebanyak 72 kertas siasatan terhadap salah laku dan penyelewengan yang melibatkan peguam dibuka sejak sepuluh tahun lepas.

Khalid berkata polis tidak pernah mengabaikan siasatan kes terhadap peguam dan telah mewujudkan satu pasukan petugas khas sejak dua tahun lepas bagi memantau penglibatan para peguam dalam sebarang bentuk penyelewengan.

Beliau berkata pasukan petugas khas itu bermesyuarat setiap bulan bagi membincangkan perkembangan kes melibatkan peguam di sekitar negeri itu.

"Sejak sepuluh tahun kebelakangan ini, Polis Selangor telah membuka 72 kertas Siasatan terhadap salah laku dan penyelewengan oleh peguam. Suka saya nyatakan bahawa di dalam beberapa kes, terdapat lebih dari satu kertas siasatan yang dibuka terhadap peguam yang sama," katanya di dalam laman sosial Facebooknya pada Selasa.

Beliau berkata polis Selangor telah menuduh enam peguam dan seorang pengantara peguam berhubung 10 daripada 72 kes yang dilaporkan termasuk salah seorangnya yang mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan kejam Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain.

"Bagi seorang peguam yang ditahan berhubung kes Datuk Sosilawati (Lawiya), kami telah menerima tujuh laporan (termasuk satu laporan pengubahan wang haram) dan daripada laporan-laporan ini, satu kes telah dibawa ke mahkamah dan menunggu perbicaraan, satu telah di NFA (tiada tindakan lanjut diperlukan) oleh pihak pendakwa raya dan bakinya masih dalam siasatan," katanya.

Khalid juga berkata kes melibatkan jenayah komersial memerlukan masa untuk disiasat kerana banyak dokumen yang perlu diperhalusi dan ramai saksi yang perlu disoal.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

How to keep your employees respectful