Friday, September 17, 2010

Murugiah buat laporan polis kaitkannya dengan suspek utama kes Sosilawati

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana

Menteri Datuk T. Murugiah hari ini membuat laporan polis berhubung satu khidmat pesanan ringkas (SMS) yang beliau terima mengaitkannya dengan suspek utama pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya.

Beliau berkata laporan itu dibuat di Balai Polis Pekan Baru, Ipoh berikutan
SMS yang dihantar melalui telefon bimbit yang berbaur fitnah.

"SMS ini adalah fitnah terhadap saya yang sengaja mengaitkan saya
dengan suspek utama pembunuhan kejam Sosilawati di mana SMS berkenaan tidak
benar sama sekali," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Beliau berkata antara kandungan SMS itu berbunyi :"peguam yang kena tuduh
dalam kes Sosilawati bercadang sertai MIC kata Murugiah yang juga kawan
baik beliau. Peguam ini juga adalah salah seorang penasihat Timbalan Menteri
berkenaan dalam kes ROS (Pendaftar Pertubuhan). Murugiah adalah rakan kongsi
peguam dalam perniagaan di mana Murugiah dapat RM3 juta dalam urusan itu".

Murugiah berkata suspek tersebut bukan peguam yang mengendalikan kes ROS
seperti yang dinyatakan dan SMS itu sengaja dihantar bagi menjejaskan imej
dan kedudukannya dalam politik dan sebagai Timbalan Menteri.

"Saya yakin SMS berkenaan kemungkinan dihantar oleh orang yang mempunyai
kepentingan politik dan mendapat manfaat sekiranya karier politik saya dibunuh.

"Perkara ini amat serius bukan sahaja ia SMS fitnah terhadap saya tetapi
juga penyebarannya boleh menjejaskan penyiasatan kes Sosilawati yang merupakan
kes berprofil tinggi," katanya.

Sebelum ini Murugiah ketika menziarahi keluarga Sosilawati mendedahkan
pernah bertemu dengan suspek utama pembunuhan tersebut, iaitu peguam bergelar
Datuk itu dalam satu majlis penyampaian sumbangan hari raya di Banting, Selangor
pada 8 September lalu.

Pada majlis itu suspek turut menyatakan hasratnya kepada Murugiah untuk
menyertai MIC.

Sementara itu Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Ibrahim Abu Bakar
ketika dihubungi mengesahkan bahawa pihaknya ada menerima laporan berkenaan
daripada Murugiah.

Beliau berkata setiausaha Timbalan Menteri berkenaan membuat laporan di
Balai Polis Pekan Baru 10 pagi tadi.

"SMS berkenaan diterima ketika Timbalan Menteri itu menghadiri satu program
di Teluk Intan (Perak) semalam," katanya.

Selain itu, menurutnya satu laporan polis berkaitan perkara itu turut dibuat
oleh setiausaha beliau di Ibu Pejabat Polis Daerah Teluk Intan semalam. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

How to keep your employees respectful