Pas Selangor menerima tamparan hebat
apabila bukan sahaja Pesuruhjayanya, Dr. Abdul Rani Osman tidak dilantik
menjadi Exco kerajaan negeri yang baru malah turut kehilangan portfolio
Hal Ehwal Agama yang sebelum ini disandang oleh Datuk Dr. Hasan Ali
yang digugurkan daripada jawatan itu Jumaat lalu.
Ini berikutan Ahli Dewan Undangan Negeri
(ADUN) Sijangkang, Dr. Ahmad Yunus Hairi, 47, yang mengangkat sumpah
sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini hanya
diberikan portfolio sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Adat Resam
Melayu, Belia dan Sukan.
Melalui satu rombakan kecil pentadbiran
negeri, Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengambil alih dua portfolio penting
iaitu Hal Ehwal Islam, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri yang
sebelum ini dipegang oleh Hasan.
Kedua-dua portfolio itu diketuai sendiri oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Pada masa sama, beliau kekal menguasai
portfolio Pembangunan Tanah, Kewangan, Majlis Tindakan Ekonomi Negeri
manakala portfolio Belia dan Sukan diserahkan kepada Dr. Ahmad Yunus.
Pengumuman Dr. Ahmad Yunus menggantikan Hasan itu turut mengesahkan laporan Utusan Malaysia mengenai perkara itu sebelum ini.
Sementara itu, dalam satu langkah yang
dilihat sebagai menjaga hubungannya dengan Pas yang mahu Dr. Abdul Rani
menggantikan tempat Hasan, Abdul Khalid mengumumkan Pesuruhjaya Pas
Selangor itu dilantik sebagai Pengerusi Skim Mikro Kredit Miskin Luar
Bandar (Skimsel).
Ahli Dewan Undangan Negeri Bangi, Dr.
Shafie Abu Bakar dari Pas pula dipilih sebagai Pengerusi Perbadanan Adat
Istiadat Melayu (Padat). Kedua-dua jawatan itu sebelum ini dipegang
oleh Hasan.
Hasan pula masih kekal memegang jawatan
Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) ekoran
pelantikannya itu berdasarkan kepada watikah daripada Sultan Selangor,
Sultan Sharafuddin Idris Shah berkuat kuasa bagi sesi 2012 hingga 2014.
Abdul Khalid pada sidang akhbar di sini
berkata, pihaknya sendiri telah bercakap dengan Presiden Pas, Datuk Seri
Abdul Hadi Awang mengenai pemilihan Dr. Ahmad Yunus sebagai Exco baru
selain mengadakan perbincangan dengan kepimpinan parti tersebut termasuk
dengan Dr. Abdul Rani mengenai perkara itu.
Beliau berkata, pemilihan Dr. Ahmad Yunus
dibuat atas pertimbangan kerja dan mempercepatkan proses menyelesaikan
pentadbiran kerajaan negeri.
Katanya, langkah tersebut bukannya
membelakangkan pandangan Pas yang sebelum ini menyenaraikan Dr. Abdul
Rani sebagai calon pilihan parti tersebut untuk menggantikan tempat
Hasan.
Malah katanya, pemilihan Dr. Ahmad Yunus
dan juga pengagihan jawatan-jawatan membabitkan agensi kerajaan negeri
kepada Dr. Abdul Rani dan Dr. Shafie telah direstui oleh kepimpinan Pas
sendiri.
”Kita bincang dengan kepimpinan dan
mereka yang matang jika rasa keadaan menjamin perubahan kepada negeri
dan pakatan (pembangkang), kita kena ubah dan saya diberikan
tanggungjawab untuk menentukan.
”Jadi saya rasa pelantikan Dr. Ahmad
Yunus mendapat restu daripada kepimpinan Pas dan Dr. Abdul Rani sendiri,
maknanya ia bukan satu pelantikan yang tidak mengambil kira pemikiran
dan juga pandangan daripada semua pihak dan Tuanku Sultan Selangor juga
diberikan latar belakang tentang pemilihan tersebut,” katanya.
Sementara itu, Abdul Khalid menjelaskan,
langkah beliau mengambil alih portfolio Hal Ehwal Agama dibuat
memandangkan anggota pentadbirannya iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri
(SUK), Datuk Mohamed Khusrin Munawi dan Penasihat Undang-undang Negeri,
Datuk Zauyah Be T. Loth Khan adalah ahli MAIS.
”Oleh sebab itu, saya ambil alih
(portfolio hal ehwal agama Islam) agar saya dapat pengerusikan mereka
(Khusrin dan Zauyah) untuk melihat perkembangan dan pembangunan Islam di
negeri ini,” katanya yang bukan ahli MAIS.
Ditanya mengenai tumpuannya terhadap
portfolio tersebut berbanding Hasan yang sebelum ini bertegas soal arak
dan kegiatan gerakan memurtadkan umat Islam, Abdul Khalid berkata, usaha
meningkatkan martabat Islam adalah berterusan dan menjadi tugas beliau
sebagai individu beragama Islam serta rakan-rakan wakil rakyat lain yang
beragama Islam lain tanpa mengira soal parti.
Namun, katanya, perjalanan tugas tersebut perlu dilakukan secara berhemah dan mengambil kira keadaan persekitaran.
”Tujuan kita adalah meningkatkan syariat
Islam dan sebab itu ada adab dan cara. Kejayaan Islam berkembang adalah
kerana ia mempunyai sistem yang adil kepada semua pihak dan saya akan
belajar, sudah tentu akan juga berbincang untuk cara terbaik kita dapat
memerintah negeri tetapi tidak hilang panduan dan pandangan mengenai
syariah Islam,” katanya.
Kepada soalan adakah beliau berasa lebih
selesa sekarang tanpa kehadiran Hasan dalam barisan Exco, Abdul Khalid
menepis soalan itu dengan menyatakan pihaknya tidak menjawab soalan
berbentuk spekulasi.
http://www.utusan.com.my/
No comments:
Post a Comment