Oleh: Tc Sivanesan Tamil Selvam, Exco Majlis Belia Malaysia
Sebagai seorang Exco Majlis Belia Malaysia dan aktivis yang telah menghabiskan lebih satu dekad dalam bidang pembangunan belia, saya menulis artikel ini dengan hati yang berat tetapi penuh keprihatinan. Keputusan untuk melaksanakan had umur belia kepada 30 tahun mulai 1 Januari 2026 bukanlah satu langkah kecil — ia adalah perubahan dasar yang akan mencorak masa depan kepimpinan negara di semua peringkat.
Saya mengiktiraf niat baik kerajaan untuk menyelaraskan definisi umur belia dengan piawaian antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Namun, realitinya, pendekatan satu acuan untuk semua ("one-size-fits-all") tidak sesuai dalam konteks Malaysia yang kaya dengan keunikan sosioekonomi, budaya dan sejarah.
kematangan seorang pemimpin tidak boleh diukur semata-mata pada nombor. Umur hanyalah angka, tetapi kebijaksanaan, pengalaman dan kestabilan hidup adalah hasil perjalanan. Ramai di antara kita mula benar-benar 'menemui diri' dalam pertengahan usia 30-an, ketika sudah stabil dalam kerjaya dan lebih bersedia untuk berbakti.
Bak kata peribahasa, “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas” – peranan dan nilai pertubuhan belia bukan sekadar bergantung kepada usia ahli-ahlinya, tetapi juga kepada daya tahan mereka dalam memperjuangkan suara anak muda merentasi zaman dan cabaran.
Jurang Kepimpinan dan Risiko Kehilangan Legasi
Jika had umur diturunkan secara mendadak, kita akan menyaksikan satu generasi pemimpin muda yang ‘terputus’ sebelum sempat mewariskan pengalaman dan kepakaran. Ini bukan sekadar soal kehilangan jawatan – ini soal kehilangan institusi pengetahuan dan kesinambungan. Seperti peribahasa Melayu, “bagai menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berserak,” – perubahan ini perlu dilaksanakan dengan cermat, agar kita tidak meruntuhkan struktur demi mengejar pembaharuan.
Sebagai negara membangun, kita harus lebih realistik. Data dan kajian menunjukkan bahawa ramai anak muda Malaysia mencapai kestabilan kerjaya hanya selepas umur 30 tahun. Jika kita mengehadkan had umur belia, kita sebenarnya sedang menyempitkan laluan penyertaan aktif dalam kepimpinan dan proses demokrasi.
Saya saranan agar had umur diturunkan secara berperingkat, dengan usia transisi kepada 35 tahun sehingga selepas PRU-16. Ini akan memberi masa kepada pertubuhan belia untuk menyesuaikan diri, merancang pelan pewarisan kepimpinan, dan menyediakan generasi baharu untuk memikul amanah.
Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pendidikan juga wajar memberi ruang kepada pembentukan kelab belia di peringkat sekolah menengah – bermula dari Tingkatan Tiga. Proses membina pemimpin bermula dari bawah. Kita perlu menanam benih sebelum mengharapkan pokok yang rimbun.
Kita mahu membentuk pemimpin, bukan sekadar melantik mereka. “Melentur buluh biarlah dari rebungnya” – ya, tetapi jangan pula ditebang buluh yang sedang berkembang hanya kerana ingin melihat rebung baru tumbuh. Pemuda ialah tenaga negara, dan tenaga ini harus dibimbing, bukan dibataskan secara tergesa-gesa.
Saya berharap agar kerajaan melihat isu ini bukan dari kaca mata undang-undang semata-mata, tetapi dengan pandangan jangka panjang dan semangat kenegaraan. Kita mahu membina negara dengan belia sebagai tulangnya – dan untuk itu, ruang mereka perlu cukup luas untuk bertumbuh.
Tc Sivanesan Tamil Selvam
Exco Majlis Belia Malaysia